Thursday, November 8, 2012

Tahun Baru, Iman Baru, Gerak Baru



Tahun baru harus membawa sinar baru

     Setelah sekian lama meninggalkan laman sesawang ini, terasa diri terlalu janggal dan asing untuk kembali mengisi  posting blog ini. Sering kali bisikan suara halus (syaitan atau nafsu) membisikkan supaya tidak berkongsi perkara yang baik, yang boleh memberi manfaat kepada orang lain agar diri ini sentiasa hanyut dan lalai dalam ‘madu dunia’. Kata orang, perkara yang lalai itu madu bagi dunia, manakala racun itu bagi yang sebaliknya. Juga, diri ini sentiasa terasa kerdil untuk mencipta bait-bait ayat yang boleh membawa kebaikan. Ya, diri ini sememangnya kerdil, tetapi haruskah kita menjadikannya terus kerdil sehingga menjadi tembok penghalang kepada perkara kebaikan? Biarkan hati berbicara.
            Minggu ini merupakan minggu-minggu terakhir bagi tahun 1433 Hijrah. Ini bermakna lebih kurang  7 hari lagi tahun 1433H akan melabuhkan tirai bagi memasuki tahun yang baru. Begitu pantas masa berlalu meninggalkan kita. Masih segar dalam ingatan ketika melangkah masuk ke Tahun 1433. Ketika itu saya bersama sahabat-sahabat ( Saifuddin, Basri, Muhaimin, Rahman dll) menyambutnya di Ulu Bendul, Negeri Sembilan. Doa awal tahun pada malam itu di ‘imamkan oleh Daing Mohd Fadzil (senior SMAASZA & USIM). Benarlah tanda antara tanda-tanda hampirnya kiamat ialah cepatnya masa berlalu. Ini telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, baginda bersabda:
Maksudnya: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". (riwayat Tarmizi). Masa  akan terus berlalu dan meninggalkan kita. Apa yang penting adalah persoalan bagaimana kita mengisi masa yang akan mendatang. Adakah esok dan hari ini sama sepertimana semalam? Maka merugilah bagi mereka yang mana hari ini lebih buruk dari semalam. 
 
Sejarah peristiwa Hijrah

            Menyingkap sedikit sejarah yang telah dilakarkan oleh Nabi Muhammad SAW bersama sahabat-sahabat baginda sewaktu peristiwa hijrah, baginda telah bersungguh-sungguh bagi memastikan Islam tertegak dan menyinari alam ini. Sehari sebelum hijrah Nabi SAW, Musyrikin Mekah berbincang menghalang Rasulullah berpindah ke  Madinah. Mereka mengambil keputusan membunuh  Rasulullah ketika baginda sedang tidur. Pemuda Musyrikin Quraisy mengepung rumah Rasulullah, mereka bersedia menyerbu dan membunuh baginda. Allah memberitahu Rasulullah pakatan tersebut dan memerintahkan baginda berhijrah ke Madinah. Kemudian,Rasulullah meminta  Saiyidina Ali mengganti tempat tidurnya sebagai satu strategi sebelum berhijrah.Rasulullah ditemani sahabat setia baginda, Saiyidina Abu Bakar keluar dari  Mekah menuju ke gua Thur. Setelah tiga hari dua malam berada di Gua Thur, Rasulullah dan saiyidina Abu Bakar meneruskan perjalanan ke Madinah.  Kemudian, mereka berhenti selama 4 hari di Quba' dan membina masjid Quba'(masjid pertama dalam Islam). Tanggal 12 Rabiul Awal, Rasulullah, Abu Bakar  dan rombongan sampai ke Madinah disambut oleh penduduk Madinah dengan kegembiraan dan kesyukuran. Begitulah seba sedikit sejarah peristiwa hijrah baginda.

Ibrah dan Pengajaran

            Di sebalik peristiwa hijrah yang terpahat dalam sejarah Islam, terdapat banyak ibrah dan pengajaran kepada kita.
1.      Sikap Kesediaan Berkorban
            Ketika Rasulullah SAW berangkat ke Madinah, beliau berpesan kepada sahabatnya , Ali Bin Abi Thalib, agar ia tidur di tempat tidur Nabi sambil berselimut dengan selimut yang diguna baginda bagi mengkaburi kaum Musyrikin. Dengan kesediaan ini. ‘Ali pada hakikatnya mempertaruhkan jiwa raganya demi membela agama Allah. Di sini, tersemat di dalam hati Saidina Ali “Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah tempat kami kembali,”. Lantas kita bertanya kepada diri kita, apakah kita mampu berkorban sebagaimana mereka berkorban?
2.      Usaha Dan Strategi
Kejayaan Hijrah bukanlah datang bergolek dan dengan hanya berpeluk tubuh, tetapi adalah hasil dari usah,kerapian persiapan dan perancangan. Usaha yang telah ditunjukkan oleh baginda iaitu baginda sanggup berhijrah demi memastikan kesinambungan dakwah Islam terus subur mewarnai alam ini patut menjadi contoh yang terbesar bagi kita. Sebelum mengarahkan Hijrah ke Madinah, dua ekspedisi diutus ke Habsyah sebagai persiapan. Pergerakan dan laluan hijrah juga diatur kemas dalam semua perkara demi mengelakkan kegagalan. Maka, setiap perjuangan perlu usaha yang bersungguh-sungguh, perancangan yang rapi, teliti, strategik dan berkesan.
3.      Tawakkal Dan Doa
Ketika Rasulullah SAW bersama sahabat Abu Bakar RA bersembunyi di Gua Thur, datang kepada mereka golongan musyrikin yang mengejar mereka. Waktu itu, musyrikin tersebut hampir sahaja hendak memasuki gua tersebut. Namun, berkat daripada nilai tawakkal yang ada pada mereka, Allah telah memberi pertolongan dan menyelamatkan mereka dari golongan yang zalim. Maksudnya : “Janganlah kuatir dan janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.
Hijrah sebagaimana Nabi SAW tidak akan ada lagi bagi kita. Cuma yang ada ialah dalam konteks tersirat, iaitu perpindahan daripada keburukan kepada kebaikan, daripada sedikitnya amal kepada bertambahnya amal, daripada kurangnya ilmu kepada tingginya ilmu dan kefahaman. Kita sepatutnya bersyukur kerana masih diberi ruang masa untuk kita bertaubat, beramal, dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Justeru, penulis meletakkan beberapa target sebagai satu iltizam untuk di gapai dan diisi sepanjang tahun 1434 yang mendatang.
Target Iman
*      Berusaha meninggalkan maksiat yang telah dilakukan sepanjang tahun 1433.
*       Memperbahrui Iman kepada Allah
*      Meningkatkan ilmu dan kefahaman dalam semua perkara.
*      Memperbanyakkan amal
Target Akademik
*      Pngk 3.0
*      SAY- NO- TO- PONTENG a.k.a kelas FULL
*      Siap Assignment and Tutorial

Target Belanjawan
*      Stop pembaziran
*      Stop Defisit
*      Kurangkan Liabilities
*      Banyakkan sedekah

Jika ditanya kepada ahli politik apakah cita-cita mereka, pasti mereka menjawab, inginkan pengaruh bertambah. Jika ditanya kepada ahli ekonomi apakah cita-cita mereka, pasti mereka menjawab, inginkan ketepatan dalam mencongak profit and loss in business, jika ditanya kepada nelayan apakah cita-cita mereka, pasti mereka menjawab inginkan hasil tangkapan bertambah. Tetapi, jika bertanya kepada Syaiful Fikri, pasti aku menjawab mahukan segala cita-cita ku tercapai. Kata pujangga. “ your dream will always defeat reality if you give it a chance”.

Akhir kalam, penulis mengajak untuk sama-sama kita mengatur gerak yang baru menuju Redha Allah dan  memetik firman Allah untuk renungan bersama yang bermaksud “ Setelah kamu berazam (berusaha ) maka bertawakkallah kepada Allah” dan “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa -apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11).

No comments:

Post a Comment