Sunday, September 25, 2011

Tarbiah Jantung Organisasi Islam


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Muhammad S.A.W. Syukur padaNya atas anugerah usia, keafiatan, dan masa lapang yang tentunya sedikit sahaja yang masih berbaki, apalagi di saat pertembungan diantara persediaan ukhrawi yang masih belum sempurna dan mungkin serabai, tanggungjawab sebagai hamba yang masih belum tertunai, serta waktu-waktu yang sangat mencemburui lagi terabai.
Firman Allah SWT bermaksud:
 “ Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang ( Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul ( Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasanNya), dan membersihkan mereka dari (iqtiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara’). Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu dalam kesesatan yang nyata.
                                                                                                                    (Surah al-Jumuah : ayat 2)    


Aspek pentarbiyahan merupakan satu cabang yang luas untuk dibincangkan. Bahkan ia memerlukan mereka yang ahli dalam bidang tersebut untuk mengupas lebih panjang dan tuntas berkenaannya. Apapun, tarbiyah merupakan perkara asasi di dalam sesuatu persatuan, organisasi,pertubuhan, gerakan, atau harakah islamiyyah. Pentarbiyahan boleh di umpamakan sebagai ‘nasi’ yang menjadi makanan asasi bagi penduduk Malaysia hari ini. Ia juga boleh di analogikan sebagai ‘tempat tinggal’ bagi manusia. Begitulah perumpamaan yang diberikan untuk menunjukkan betapa pentingnya tarbiyah. Tanpanya pasti tidak lengkap organisasi islam tersebut.
   Rasulullah SAW telah menekankan soal pentarbiyahan seawal usia kedatangan islam lagi. Konsep ini telah terlebih dahulu diterapkan ke dalam generasi awal sahabat yang disebut sebagai As Sabiqul Awwalun. Baginda telah memulakannya di rumah sahabatnya al-Arqam. Baginda menjadikan aqidah dan pegangan kepada prinsip agama islam yang syumul sebagai tunjang kepada mereka. Baginda meneguhkan iman di dalam jiwa sahabat dengan membacakan ayat-ayat Allah sehinggalah berjaya mengeluarkan mereka dari perkara syirik dan jahiliah.  Kefahaman yang jelas terhadap islam telah melahirkan satu generasi ‘perubah’ yang akhirnya benar-benar mengubah dunia. Keikhlasan yang lahir dari hati menjadikan mereka orang yang membariskan diri dalam saff hadapan untuk memperjuangkan dan mempertahankan islam.
    Melihat kepada kepentingan tersebut, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) telahpun mengorak langkah untuk memurnikan aspek pentarbiyahan kepada mahasiswa amnya dan ahli khasnya dengan program yang diberi nama Training Of Trainer (TOT). Program ini bukan hanya bertujuan untuk menghidupkan kembali ruh islami supaya kembali bersinar dalam diri mahasiswa, bahkan ia juga bagi mengasah softskill mahasiswa untuk mempersiapkan diri menjadi mata rantai perjuangan islam. Hari ini pastinya SPMM memerlukan pelapis kepimpinan dan pendokong yang memahami islam dan perjuangannya dalam erti kata yang sebenar. Hal ini penting bagi meneruskan kesinambungan dakwah kampus. TOT jualah yang diharap dapat memantapkan tarbiyah mahasiswa amnya dan ahli SPMM khasnya sebagai perisai dalam menghadapi pelbagai ancaman musuh islam yang berusaha untuk melemahkan umat islam dari segenap sudut.
       Seharusnya dalam keadaan sosialiti masyarakat yang semakin mencabar kian hari, setiap daripada mahasiswa dan ahli SPMM meletakkan diri mereka dalam program ini, tidak mengasingkan diri, apatah lagi prejudis dan sinis terhadap program ini. Sebagai pengakhirannya,  ingin saya memetik sebuah hadis riwayat oleh Imam Ahmad yang bermaksud:
“ sesungguhnya syaitan itu serigala kepada manusia seperti serigala kambing jua, dia menangkap mana-mana yang jauh dan terpencil. Maka hendaklah kamu berjamaah dan mencampuri orang ramai serta menghadiri masjid.”

2 comments:

  1. Salam ziarah & salam perjuangan dalam penulisan blog.Semoga terus istiqamah ya sahabat.

    ReplyDelete